Sejak lebuh raya LPT2 di buka kepada orang
ramai, sudah banyak kita dengar mengenai kes kemalangan maut yang berlaku.
Setiap kemalangan pasti meragut nyawa itu yang menjadikan kisah di LPT2 ni
menyedihkan. Tapi adakah kita ketahui apa yang sebenarnya berlaku di LPT2?
Siapa yang tahu kisah sebenarnya di lebuh raya ini? Aku dengar² ada cerita hantu di LPT2 dan RNR Ajil ni. Betul ke?
Di sini aku ingin kongsikan sedikit info kisah
seram kisah mistik yang berlaku di LPT2. Seorang pengguna, Ahmad Aziz Jaafar,
37 berkata, dia pernah mengalami gangguan hantu ketika menggunakan LPT2 tetapi
tidak mengendahkannya.
Kawannya juga berkongsikan cerita hantu di
LPT2 ni dan insiden seram itu berlaku di kawasan Rehat dan Rawat (RNR) Ajil di
awal lebuh raya LPT2 berkenaan dibuka kepada orang ramai.
Pernah berlaku ketika saya dalam perjalanan
untuk mengambil kawan yang keretanya rosak di LPT2 apabila diganggu dengan
siulan menakutkan yang membuatkan seluruh bulu roma badan saya menegak."
"Kejadian menakutkan ini berlaku
kira-kira jam 2.30 pagi dan ketika saya memandu terdengar siulan di tempat
duduk belakang membuatkan saya seriau," katanya.
Menurutnya, bagi menghilangkan bunyi siulan
hantu itu, dia memasang radio dengan kuat dan membaca ayat-ayat suci al-Quran
di dalam hatinya. Apabila tiba di kawasan terang, dia memberhentikan kereta dan
memeriksa di bahagian belakang tetapi tiada apa-apa. Ini menguatkan lagi teori
beliau yang memang adanya unsur² gangguan hantu di sekitar kawasan LPT2 dan RNR
Ajil.
Ahmad Aziz turut membuka satu lagi cerita
hantu di LPT2 iaitu ketika dia bersama rakannya berhenti di RNR Ajil.
Menurutnya, ketika itu rakannya menaiki kenderaan bersama isterinya, manakala
dia memandu bersendirian.
"Ketika di RNR Ajil, saya nampak isteri
kawan saya turun untuk ke tandas dan setelah selesai dia naik semula ke
kenderaan dan kami bergerak ke rumah masing-masing."
"Apabila rakannya tiba di rumah di
Jerangau Barat, beliau keluar dari kereta, manakala isterinya tidak berganjak
dari tempat duduknya. Bagaimanapun, dia mendapat panggilan telefon daripada
isterinya dan walaupun agak pelik dia mengangkat dan apa yang mengejutkan
beliau si isteri sebenarnya masih berada di RNR Ajil."
"Apabila dilihat di dalam kereta, makhluk
yang menyerupai isteri kawannya itu sudah tiada dan barulah dia menyedari yang
berada di sebelahnya itu bukanlah isterinya," katanya.
Ahmad Aziz berkata, banyak yang memperkatakan
tentang cerita hantu di LP2 dan RNR Ajil ni termasuk ada yang mendakwa nampak
lembaga hitam yang besar di atas jejambat. Menurutnya, memang perkara mistik
tidak boleh diketepikan tetapi dia percaya kebanyakan kes kemalangan maut yang
berlaku adalah disebabkan kecuaian sendiri.
"Sebagai pengguna kita perlu lebih
berhati-hati dan memandu mengikut had laju supaya tidak berlakunya kemalangan
yang meragut nyawa," katanya sebagai penutup perbualan.
Kisah Lembaga
Hitam Di Jalan Sempadan Ajil – Bukit Besi
Seorang penarik kereta atau "Call
Man", Shamsudian Salleh, 43 berkata, kerjanya sebagai tukang tarik kereta
yang mengalami kerosakan akibat kemalangan membuatkannya sentiasa berada di
LPT2 dan pelbagai faktor sebenarnya boleh menyumbang kepada kemalangan.
Kisah seram yang sering diperkatakan oleh
orang ramai juga bukan perkara asing baginya walaupun tidak pernah mengalaminya
sendiri. Menurutnya, paling banyak tiga kes kemalangan berlaku dalam sehari
tetapi kadang-kadang ada juga dalam seminggu tiada kemalangan.
"Antara cerita hantu yang popular di
kawasan ini ialah kehadiran lembaga besar di sempadan Ajil dan Bukit Besi.
"Satu lagi gangguan mahkluk berambut panjang dan berpakaian serba putih di
sekitar Jerangau dan laluan itu memang sering berlaku kemalangan.
"Ada juga rakan saya yang kemalangan
selepas terlihat lembaga hitam melintas. "Bagaimanapun, saya percaya
kemalangan yang berlaku disebabkan pelbagai faktor termasuk kehadiran binatang
peliharaan seperti lembu dan binatang liar seperti badak, beruang dan
tapir," katanya.
Kubur Lama
Dipindahkan Kaitan Cerita Hantu Di LPT2
Biarpun laporan pihak berkuasa menyatakan
punca utama berlakunya kemalangan di LPT2 disebabkan kecuaian pengguna, namun
cerita hantu di LPT2 tetap menjadi perbualan hangat pengguna serta penduduk di
sekitar kawasan itu.
Malah, ada yang mempercayai unsur-unsur mistik
turut menjadi penyebab pusara di lebuh raya memandangkan satu demi satu
kemalangan maut terus berlaku apatah lagi tragedi berdarah itu terjadi di
lokasi kilometer yang hampir sama.
Tragedi meragut lima nyawa termasuk empat
daripadanya rentung di Kilometer (KM) 386 pada 24 Mei lalu begitu meninggalkan
kesan di hati, selain insiden maut melibatkan seorang peronda LPT, Razali
Ishak, 44, pada 27 Jun 2014 di KM 415.1.
Kedua-dua kes tersebut turut menjadi viral di
laman sosial sehingga ada yang mengaitkan kejadian kemalangan maut melibatkan
peronda LPT2 mempunyai kaitan dengan usur mistik ekoran adanya
"seseorang" dalam sekeping gambar diambil oleh orang awam di lokasi
kejadian.
Bagi warga emas dari Kampung Peroh, Che Nik
Che Wil,71, cerita yang mana ada sesuatu yang melintas sehingga dikatakan punca
pemandu terbabas antara kisah sering didengarinya dan rata-rata ia berlaku di
kawasan hampir sama termasuk satu lokasi dipanggil Bukit Belah.
"Pakcik tidak pernah mengalaminya tetapi
sering mendengar cerita yang sama beberapa kali iaitu ada benda melintas lalu
menyebabkan pemandu hilang kawalan dan terbabas atau kemalangan. Dikatakan juga
adanya kubur lama tetapi telah dipindahkan sebelum projek pembinaan LPT2
dimulakan dulu.
"Ketika kerja-kerja pembinaan dilakukan
dahulu juga pakcik dengar cerita ada beberapa orang pekerja yang
meninggal dunia kerana ada tragedi maut termasuk lah kenderaan terbalik. Malah,
sewaktu lebuh raya belum dibuka ia telah meragut nyawa seorang penunggang
motosikal.
"Daripada cerita yang pakcik dengar,
penunggang motosikal itu berasal daripada Felda Jerangau Barat. Mayatnya hanya
dijumpai sebelah petang oleh penternak lembu, ketika itu darah yang mengalir
telah pun kering. Pakcik difahamkan dia terbabas," ujarnya.
Begitulah diantara cerita hantu di LPT2 dan
sekitar hentian RNR AJil yang telah di kongsikan oleh beberapa orang penduduk
setempat. Selain daripada unsur mistik, menurut pengguna LPT2 faktor keadaan
jalan yang beralun juga menjadi sumber kepada berlakunya kemalangan di LPT2
itu. Apa sebenarnya yang berlaku? Hanya mereka yang telah terlibat di dalam
kemalangan itu sahaja yang tahu. AL-Fatihah kepada semua mangsa di LPT2 yang
telah terkorban.
No comments:
Post a Comment